PUTRAJAYA 9 Jun - Sebanyak 30 sekolah lagi daripada pelbagai aliran telah dipilih bagi disenaraikan sebagai sekolah kluster, menjadikan keseluruhannya sebanyak 60 sekolah sejak ia diperkenalkan pada Mac tahun lalu.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah sekolah kluster akan bertambah setiap tahun sehingga mencapai sasaran 300 sekolah kluster pada 2010.
Beliau berkata, sekolah-sekolah kluster fasa kedua itu turut layak memohon peruntukan khas berjumlah sehingga RM500,000 untuk melaksanakan program dan aktiviti yang telah ditentukan.
”Sehingga April 2008, sebahagian peruntukan telah disalurkan kepada 30 sekolah kluster bagi fasa pertama manakala baki peruntukan akan diturunkan berdasarkan prestasi perbelanjaan semasa setiap sekolah.
”Peruntukan untuk sekolah kluster fasa kedua pula akan diturunkan selepas permohonan sekolah-sekolah tersebut diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Panel Penasihat Sekolah Kluster di kementeriannya di sini hari ini.
Pelaksanaan sekolah kluster adalah salah satu fokus utama yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dan Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad.
Menurut Hishammuddin, pada masa yang sama kementerian akan menilai dan meneliti 75 perakuan dan cadangan yang dikemukakan panel penasihat bagi menambah baik dan memperkukuhkan pengurusan serta pentadbiran sekolah kluster di seluruh negara.

Recent Comments